Sunday, October 5, 2008

Wan Ali

Wan Ali Nakhoda (bersongkok) bergambar bersama Sultan Kelantan (Sultan Muhammad IV) di awal 1900.


RIWAYAT HIDUP SEORANG PEJUANG.

WAN ALI NAKHODA AL HAJ BIN WAN NUH NAKHODA AL HAJ


Oleh Wan Mohd. Hazim bin Wan Abdullah.

(dikemaskini oleh Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah pada 10 April 2008)


Wan Ali Nakhoda al Haj adalah anak watan Mukim Pekan, dilahirkan di Kampong Surau pada tahun sekitar 1850an[1]. Merupakan anak sulung di antara lapan orang adik beradik. Bapanya Wan Nuh dikatakan berasal dari Minangkabau, Sumatra. Setelah berada beberapa lama di negeri Perak, beliau telah berhijrah dan menetap di Kampong Surau, Pekan tetapi meninggal di Singapura[2]. Beliau telah membuka lembaran baru dalam sejarah tempatan dengan menubuhkan perusahaan kain tenun yang sangat maju.


Pedagang

Sebagi anak lelaki sulung Wan Nuh, Wan Ali telah mewarisi kepimpinan bapanya dalam pengurusan perniagaan keluarganya setelah bapanya meninggal dunia di Singapura. Beliau telah berkahwin dengan Wan Aminah binti Wan Abu Bakar dari kampung Dusun Langgar, Pekan yang terkenal kerana kemahirannya dalam menenun kain. Hasil tenunannya lebih cantik, lebih tebal, lebih lembut dan berbau wangi berbanding dengan tenunan orang lain[3]. Wan Ali menjual hasil kain tenunan keluarganya ke negeri-negeri Melayu terutamanya negeri Perak, negeri Pahang dan Negeri Terengganu. Bahkan Wan Ali sangat terkenal di kalangan orang-orang istana dan biasa dijemput menjamu selera bersama para raja dan pembesar istana[4]. Selain daripada perniagaan kain tenun, Wan Ali juga mempunyai perniagaan beras dan garam yang dibeli dari Pattani dan dibawa dengan kapalnya ke negeri-negeri Melayu dan Singapura[5].


Nakhoda

Perniagaannya begitu berjaya sehingga Wan Ali berupaya bertukar-tukar kapal dari yang kecil kepada yang lebih besar dan berinjin. Kapalnya yang bernama Bintang Timur begitu terkenal sehingga Wan Ali dikenali sebagai “Wan Ali Bintang Timur” di kalangan orang di luar Kelantan terutamanya di kalangan para pelayar di negeri Terengganu dan Singapura. Orang-orang tempatan menggelarnya “Wan Ali Tok Khada” atau Nakhoda[6].

(Foto kiri) Periuk tembaga ini digunakan untuk tanak nasi atas kapal Wan Ali Nakhoda dalam pelayarannya.


Semasa kejadian “bah merah” (banjir air merah)[7] melanda negeri Kelantan dalam tahun 1926 Wan Ali telah banyak berbakti kepada rakyat Kelantan dengan mengangkut bekalan beras dan barang-barang keperluan lain dari Pattani kepada orang ramai yang dalam kesusahan akibat banjir besar itu. Malangnya banjir besar itu telah menyebabkan kapalnya karam di tebing Sungai Kelantan. Dikatakan kerana diperdayakan oleh rakan kongsinya menyebabkan beliau telah mengalami kerugian yang amat besar[8]. Adalah dikatakan Wan Ali telah dianugerahkan darjah kebesaran (Dato’ Orang Kaya Setia D’Raja) oleh DYMM Sultan Muhammad IV (1900 – 1920) yang memerintah Kelantan pada masa itu kerana telah meminjamkan sejumlah wang kepada kerajaan untuk membiayai pentadbiran negeri sewaktu negeri Kelantan dilanda musibah kerana ribut besar pada 13 November 1880[9]. Ekoran bencana itu, Kelantan menghadapi krisis kelaparan (1882) atau ‘tahun lapar’ kerana petani tidak dapat membajak sawah dan menanam kerana ternakan banyak mati akibat wabak penyakit pada 1881. Rakyat jelata pula diserang wabak penyakit seperti taun dan demam kura pada 1883 iaitu serentak dengan berlakunya letupan gunung berapi Krakatoa[10] di Indonesia. Kelantan ketika itu adalah di bawah pemerintahan Long Senik Mulut Merah yang bergelar Sultan Muhammad II (1838-86).


Insan Bijak

Melalui pergaulannya dengan orang dari berbilang kaum dan pelbagai lapisan masyarakat Wan Ali telah mengambil peluang menimba berbagai pengetahuan yang berfaedah lantran sikapnya yang terbuka dan sentiasa bersedia untuk memnpelajari apa saja yang berfaedah.

Daripada peniaga Cina beliau telah mempelajari cara mengira menggunakan sempoa, cara mengendalikan buku kira-kira keluar masuk wang syarikat dan teknik pertanian campur. Daripada para pembesar beliau mempelajari ilmu pendekar manakala dari para ulamak beliau mempelajari ilmu agama serta ilmu kebatinan[11]. Oleh hal yang demikian Wan Ali merupakan seorang insan yang istimewa dan terkenal serta disegani di kalangan orang tempatan.

Kebijaksanaannya telah meraih penghormatan dari beberapa pihak termasuk pihak istana. Misalnya, DYMM Sultan Muhammad IV pernah menitahkan Wan Ali supaya mengarang sebuah buku sejarah negeri Kelantan yang bertajuk Ringkasan Chetera Kelantan[12]. Nama beliau dicatatkan di halaman terakhir manuskrip tersebut dengan nama Wan Ali Pekan[13].


Peneroka

Wan Ali telah menjadi besan kepada Sultan Abdul Kadir Kamaruddin[14], Raja Pattani yang terakhir apabila anak perempuannya yang bernama Wan Mariam dijodohkan dengan anakanda sulung baginda Tengku Ahmad Zainal Abidin yang bergelar “Tengku Seri Akar D’Raja”. Dalam tahun 1890an Wan Ali telah menolong Tengku Ahmad Zainal Abidin membuka ladang getah yang besar di Mengkebang, Kuala Krai bagi pihak Bondanya Tengku Mariam Kembang Puteri[15]. Selepas kejayaan membuka ladang bagi pihak Tengku Mariam Kembang Puteri, Wan Ali bersama adik-adiknya Wan Abdullah dan Wan Abdul Samad serta seorang yang lain telah membuka sebuah ladang getah seluas 375 ekar di Kuala Nal[16]. Sehinga hari ini ladang ini masih dimiliki oleh Keluarga Wan Nuh.

Wan Ali juga telah berjaya meneroka teknik baru dalam pertanian khususnya cara mencantum benih supaya hasil buah-buahan lebih bermutu. Hasil tanaman Wan Sulaiman yang mendapat bimbingan dari Wan Ali selalu menang dalam pertandingan pertunjukan hasil pertanian[17].


Yakin Dengan Pendidikan

Seorang yang berpandangan jauh serta mempercayai nilai ilmu dan pendidikan serta penilaian beliau tentang perkembangan semasa, Wan Ali telah mengasaskan beberapa kemudahan persekolahan di Mukim Pekan, salah satunya sebuah sekolah rendah yang dikenali hari ini sebagai SRK Pasir Pekan.

Kemudahan persekolahan secara tradisional sebenarnya telah wujud di mukim Pekan sejak sebelum keluarga Wan Nuh tiba di mukim Pekan lagi. Telah wujud “Kelas Menadah Kitab” khususnya berhubung dengan pengetahuan tentang hukum agama Islam di sebuah surau lama yang terdapat di mukim Pekan. Sewaktu kedatangan Wan Nuh pengajian agama di surau itu di bawah kelolaan seorang ulamak yang dikenali sebagai Tok Khatib[18]. Selepas kematian Tok Khatib, tugas beliau telah diambil alih oleh Imam Wan Musa yang berasal dari Kampong Pauh Kumbang[19], Kutan. Imam Wan Musa adalah seorang ahli falak yang mahir, oleh itu tidak hairanlah beliau sering berutus surat dengan DYMM Raja Kelantan melaporkan perkara yang berkaitan dengan ilmu falak seperti kejadian gerhana bulan dan matahari[20].


Memandangkan terdapat ramai kanak-kanak di Mukim Pekan yang sudah baligh tidak tahu menulis dan membaca maka diadakan satu kelas permulaan di atas surau itu. Oleh itu tidak hairanlah jika penduduk mukim Pekan, khususnya keluarga Wan Nuh merupakan golongan yang boleh dianggap sebagai golongan bijak pandai pada masa itu kerana tahu menulis, mambaca dan mengira. Bahkan ada keluarga Wan Nuh yang mendapat pendidikan menengah di luar negara seperti Wan Muhammad bin Wan Ali bin Wan Nuh di Mesir[21].


Wan Ali sebagai seorang yang sering merantau ke Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu, menyedari betapa peri pentingnya pendidikan barat didedahkan kepada anak watan mukim Pekan di samping pendidikan agama. Beliau membina sebuah bangunan mengandungi tiga bilik darjah yang berbentuk huruf T. Bangunan itu berdinding buluh dan beratap nipah terletak di sebelah belakang rusuk kanan surau itu dibina dengan bantuan penduduk mukim Pekan secara bergotong-royong.. Akibat pertambahan murid bangunan itu tidak mampu lagi menmpung bilangan pelajar yang bertambah, lalu Wan Ali telah mendirikan sekolah di atas tapak yang ada sekarang[22].


Berkat kepetahan bercakap, bijak bergaul serta pandai menilai keadaan semasa, Wan Ali berjaya menyakinkan para pemimpin mayarakat pada masa itu tentang kepentingan nilai pendidikan; dari itu tidak hairanlah usaha murni Wan Ali mendapat sokongan dari pelbagai pihak termasuklah Penggawa Wakaf Bharu pada masa itu, Tuan Haji Yusuf terutamanya dalam memberi kesedaran kepada para ibubapa di mukim Pekan tentang kepentingan pelajaran kepada anak-anak mereka[23].


Tiga orang guru iaitu cikgu Nik Abdullah, cikgu Haji Nik Ismail dan cikgu Nik Abdul Kadir telah mempelopori proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu sejak dari awal penubuhannya[24].


Sebilangan orang kenamaan telah memperolehi pelajaran asas dari sekolah itu antaranya Che Omar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Bharu dan Tan Sri Hussin bin Ahmad bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan[25].


Dari tahun 1926 hingga 1937 SRK Pasir Pekan yang ada pada hari ini adalah hanya dikenali sebagai sekolah rakyat yang dibiayai perjalanannya termasuklah membayar gaji guru oleh satu lembaga penggelola yang diketui oleh Wan Ali b Wan Nuh[26].


Walaupun sekolah itu tarafnya adalah sekolah rakyat, bukannya sekolah bantuan penuh kerajaan ianya bukanlah satu alasan sekolah itu terlepas dari pengawasan pihak Pejabat Pelajaran Negeri Kelantan pada masa itu. Bahkan sekolah itu sering menerima lawatan dari pihak Pejabat Pelajaran Negeri Kelantan[27]. Para pelajar sekolah itu juga sering terlibat dalam acara-acara olahraga yang dianjurkan oleh pihak Pejabat Pelajaran Negeri Kelantan[28].


Pada tahun 1938, pentadbiran sekolah rakyat telah diserahkan kepada pihak kerajaan oleh pihak lembaga pengelola dan lembaga pengelola tidak lagi berkuasa ke atas pentadbiran sekolah rakyat itu. Selepas tarikh itu barulah SK Pasir Pekan yang ada pada hari ini ditubuhkan secara rasminya.


Selain daripada SK Pasir Pekan, Wan Ali juga telah mengambil insiatif menyediakan sebuah rumah wakaf di Mekah untuk kegunaan para jemaah haji dan penuntut Kelantan yang bermastautin di Mekah. Wan Ali juga telah merancang penubuhan sekolah menengah agama di Mukim Pekan. Hasrat beliau telah ditunaikan oleh anak saudaranya Wan Adam, lalu tertubuhlah SM Agama Falahiah di Kampong Baru Luar, Pekan[29].


(Foto Kiri: SM Agama Falahiah yang kini ditukar kepada SMA Maahad Muhammadi (Perempuan) Pasir Pekan)


Wan Ali telah meninggal dunia pada tahun 1938 dengan meninggalkan banyak bakti yang berkekalan bagi penduduk di tanah watannya.


Rujukan

Abdul Razak Mahmud, Ikhtisar Sejarah Kelantan, Pustaka Aman Press, Kota Bharu: 2005)

Temubual

YM Tengku Muniratussaniah binti Tengku Ahmad Zainal Abidin (berkaca mata)

ketika menghadiri perjumpaan keluarga Wan Nuh pada 15 Oktober 2007 bersamaan 3 Syawal 1428H.


YM Tengku Muniratussaniah binti Tengku Ahmad Zainal Abidin

YM Tengku Muniratussaniah ialah anak kedua kepada pasangan Tengku Ahmad Zainal Abidin bin Tengku Abdul Kadir dan Wan Mariam binti Wan Ali. Beliau dilahirkan di Kampong Surau, Pekan pada 12hb Mei 1920. Apabila adindanya Tengku Mohani dilahirkan dan bondanya Wan Mariam telah uzur dan meninggal dunia setahun kemudian, Tengku Muniratussaniah telah membesar tampa ibu dan pengasuh, dan biasanya berdampingan dengan nendanya Tengku Mariam Kembang Puteri di rumah ibu dalam istana. Sejak dari kecil lagi, Tengku Muniratussaniah sentiasa gemar mencari ilmu, dalam pendidikan agama yang diberi di atas balai istana, beliaulah yang paling pintar dan cepat dalam semua mata pelajaran. Setelah mencapai umur tiga belas tahun, beliau beberapa kali telah khatam al Quran begitu juga pelajaran agama yang lain seperti ilmu tajwid, ilmu fekah dan ilmu hadith. Keadaan ini menyebabkan beliau merasa terkongkong lalu beliau menghadap ayahdanya dan merayu supaya beliau diizinkan menyambung pelajaran di sekolah Inggeris. Perbuatan beliau telah memberi peluang kepada enam lagi puteri Kelantan memperolehi pendidikan Inggeris. Pada tahun 1934 mereka telah dihantar ke Anglo Chinese School, Ipoh. Pada tahun 1940 Tengku Muniratussaniah telah menyambung pelajarannya ke Methodist Girls’ School di Pulau Pinang sehinnga meletusnya Perang Dunia Ke Dua. Setahun kemudian beliau melangsungkan perkahwinan dengan YM Tengku Ibrahim bin Tengku Mohammad “Tengku Seri Wak Raja”. YM Tengku Muniratussaniah adalah seorang yang berbakat seni. Selepas PDII, beliau telah mereka dan menjual kalong intan, melukis batik kain sarung, kain tudung dan sebagainya secara “Free Hand”. Beliau pernah dilantik sebagai pereka barang perak oleh pentadbiran British di Malay Handicraft Centre yang terletak di Jalan Istana Kota Lama. Dengan usaha-usaha kreatif ini, beliau dapat menyara tiga orang anak selaku seorang ibu tunggal. Dalam tahun-tahun 1950an hingga 1980an Beliau aktif dalam kegiatan kenasyarakatan dan amal jariah seperti Women’s Institute dan Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim. Beliau telah membiayai pembinaan sebuah surau yang bernama Masjid as Saniah di Sungai Keladi, Kota Bharu pada tahun 2000 dan sebuah surau lain di Kampong Telipot pada tahun 2004..


Nik Yatimah @ Wan Yatimah binti Wan Jusuh @ Wan Yusuf,

Dilahirkan pada tahun 1920an di Kampong Surau, Pekan, merupan anak kedua dari tiga adik beradik dari pasangan Wan Zaharah binti Wan Ali bin Wan Nuh dan Wan Yusuf bin Wan Deraman.Mendapat pendidikan asas di Sekolah Rakyat sehingga tamat darjah enam. Telah ditawarkan jawatan guru tetapi menolak kerana lebih suka menolong ibunya di rumah.Beliau telah berkahwin dengan Wan Yaacob b. dari Kampong Palekbang.


Wan Mohamad Jamin bin Wan Mahmood,

Dilahirkan di Kampong Surau pada tahun 1940. Merupakan anak kepada pasangan Wan Mahmood bin Wan Abdullah bin Wan Nuh dan Wan Saidah binti Wan Ali bin Wan Nuh. Setelah mendapat pelajaran asas di SRK Pasir Pekan, menyambung pelajaran ke pringkat menengah di Madrasah al Falahiah sebelum ke Maahad Muhammadi.Merupakan graduan perundangan Universiti Islam Indonesia, melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti of London, England. Malangnya beliau tidak sempat menghabiskan pelajaran peringkat sarjananya kerana kesuntukan wang untuk membiayai pelajarannya di England. Sekembalinya ke Kelantan beliau telah bertugas sebagai guru di sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan.Beliau meletak jawatan sebagai guru kerana mahu bergiat cergas dalam bidang politik. Pada tahun 1991 beliau telah bertanding di Parlimen Tumpat dan menang bagi dua penggal berturut-turut.


Wan Zabedah binti Wan Abdul Samad,

Dilahirkan di Kampong Pasir pada tahun 1920an. Merupakan anak daripada pasangan Wan Abdul Samad bin Wan Nuh dan Wan Fatimah. Mendapat pendidikan asas di sekolah rakyat. Mendirikan rumah tangga dengan Wan Adam bin Wan Abdullah bin Wan Nuh pada masa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.


Nik Salleh bin Nik Musa.

Dilahirtkan pada tahun 1920an, merupakan anak kepada pasangan Wan Aminah binti Wan Daud bin Wan Salleh dari Kampong Surau, Pekan dan Nik Musa bin Nik Yaacob dari Kampong Langgar Kota Bharu. Mendapat pelajaran asas di sekolah rakyat hingga tamat darjah enam. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran menengahnya di Sultan Ismail College sehingga tamat tingkatan lima. Beliau kemudiannya menyertai Jabatan Kerja Raya Kelantan sebagi buruh biasa. Semasa berkhidmat dengan pihak JKR Kelantan beliau telah menduduki peperiksaan yang melayakkan beliau dilantik sebagai pelukis pelan di JKR Kelantan. Selepas bersara beliau telah menceburi bidang perniagaan sebagai pelukis pelan berlesen sehingga ke hari ini.


Wan Abdullah bin Wan Yusuf

Dilahirkan pada tahun 1929, di kampong Surau, Pekan. Beliau adalah anak kepada pasangan Wan Yusuf bin Wan Musa dan Wan Safiah binti Wan Abdullah bin Wan Nuh. Bapa dan datuk lelakinya adalah Imam Masjid Pasir Pekan. Mendapat pendidikan asas di SRK Pasir Pekan sebelum melanjutkan pelajaran di Mekah. Apabila pecah PDII, beliau terpaksa pulang ke Kelantan dari Mekah. Selepas menamatkan pelajaran menengahnya di Jamik Merbau, beliau bertugas sebagai guru di Madrasah Wataniah Machang.Beliau kemudian meletak jawatan sebagai guru kerana mahu berkerja di Ladang Kuala Geh.

Wan Mariam binti Wan Sulaiman.

Lahir pada tahun 1938, merupakan anak ke lima dari lapan orang adik beradik.Mendapat pendidikan asas di SRK Pasir Pekan sebelum menamatkan persekolahan menengahnya di Madrasah Naimlilbanat, Kota Bharu. Beliau kemudiannya bertugas sebagai guru di sebuah sekolah agama di Wakaf Bharu. Setelah berkahwin dengan Wan Abdullah bin Wan Yusuf pada usia 20 tahun, beliau telah meletak jawatan sebagai guru untuk menjadi surirumah sepenuh masa.

Tuan Haji Salleh b Mohd Akib

Bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Kelantan, beliau kini bertugas secara sambilan sebagai pegawai penyelidik di Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.



[1] Cerita lisan oleh Wan Jamin b Wan Mahmood…Ladang Kuala Nal dibuka sekitar tahun !900, pada masa itu umur Wan Ali dikatakan sekitar 50an.

[2] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman.

[3] Cerita lisan oleh Wan Meriam bt Wan Sulaiman

[4] Cerita lisan oleh Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin.

[5] Cerita lisan oleh Wan Yatimah bt Wan Yusof

[6] Cerita lisan oleh Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin

[7] Malapetaka ini mula berlaku pada hari Jumaat 24 Disember dan mencapai puncaknya pada hari Ahad 26 Disember. Ia surut sepenuhnya pada 6 Januari 1927. Dinamakan ‘Bah Air Merah’ kerana pada waktu surutnya, air berubah warna menjadi kemerah-merahan. Keadaan ini dikatakan akibat dari runtuh dan pecahnya tanah bukit di ulu Sungai Kelantan.

[8] Cerita lisan oleh Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin.

[9] Cerita lisan oleh Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin.

[10] Kesan letupan gunung berapi Krakatoa telah mengakibatkan gelombang ombak Tsunami sehingga 35 meter tinggi dan memusnahkan atau merosakkan beberapa bandar dan 300 buah kampong di sekitar Selat Sunda iaitu di Pulau Jawa dan Sumatera. Sekurang-kurangnya 36,417 orang terkorban. Tidak dapat dipastikan sejauh mana Kelantan terkesan dari letupan Krakatoa itu dan apakah ribut besar yang dikatakan itu ada kaitan dengan Krakatoa.

[11] Perkara ini dapat dilihat dari buku cacatan Wan Ali. Buku itu kini dalam simpanan pihak Arkib Negara Malaysia.

[12] Sebenarnya yang dimaksudkan ialah Manuskrip ‘Hikayat Seri Kelantan’ yang kini tersimpan di Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Manuskrip ini mengandungi 105 halaman, 19 baris pada setiap halaman, berukuran 15.5 x 20.5 cm dan tulisannya terang. Satu kajian ilmiah berkenaan manuskrip ini telah dibuat oleh Mohd Taib Osman untuk ijazah M.A. dalam tahun 1960. Naskah asal manuskrip ini pernah disimpan oleh Haji Nik Mahmud Haji Wan Ismail iaitu Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja, Menteri Besar Kelantan 1920-1949. Lihat Dato’ Nik Mohamed bin Nik Mohd Saleh, Warisan Kelantan IX, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1990, hlm. 97,101. Rujuk juga Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah, Wan Ali Wan Nuh dan Penulisan Sejarah Negeri Kelantan, dlm. http://www.wannuh.com.

[13] Terdapat kekeliruan dalam identiti nama Wan Ali Pekan sebagai pengarang manuskrip ini apabila Nik Mohamed Nik Mohd Saleh mengandaikan Wan Ali Pekan sebagai Wan Ali Kutan. Sedangkan Wan Ali Kutan dikenali sebagai ulamak tersohor yang tidak pula pernah mengarang kitab yang berjudul Hikayat Seri Kelantan.

[14] Baginda dilucutkan dari takhta oleh Kerajaan Siam pada 1908. Putera bongsu baginda, Tengku Mahmood Mohyiddeen merupakan tokoh pejuang pembebasan Patani dan merupakan tokoh pentadbir yang banyak berjasa di Kelantan.

[15] Cerita lisan oleh Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin…Wan Ali telah pergi ke Singapura, di Singapura Wan Ali telah membeli seguri biji getah dari Brazil dengan harga seguri emas.

[16] Geran Hak Milik Tanah Ladang Kuala Nal yang didaftarkan pada tahun 1938.Salinan geran ini kini tersimpan di Arkib Negara Malaysia

[17] Cerita lisan oleh Tengku Muniratussaniah bt Tengku Zainal Abidin.

[18] Cerita lisan oleh Wan Yusof b Wan Idris, AJK Masjid Pasir Pekan.

[19] Cerita lisan oleh Wan Abdullah b Wan Yusof.

[20] Surat menyurat antara Wan Musa dapat dilihat dalam buku catatan surat keluar Wan Musa. Buku catatan itu kini ada tersimpan di Arkib Negara Malaysia.

[21] Ceria lisan oleh Wan Jamin b Wan Mahmood.

[22] Cerita lisan oleh Nik Salleh b Nik Musa.

[23] Cerita lisan oleh Nik Salleh b Nik Musa

[24] Cerita lisan oleh Nik Salleh b Nik Musa.

[25] Cerita lisan oleh Nik Salleh b Nik Musa

[26] Menurut rekod Bahagian Pembangunan Jabatan Pelajaran Kelantan, SK Pasir Pekan wujud secara resmi pada tahun 1938. Dalam kajian oleh Dato Salleh b Akib didapati tiada dalam rekod JPN kelantan menunjukkan SK Pasir Pekan ditubuhkan pada tahun 1920an .

[27] Cerita lisan oleh Nik Salleh b Nik Musa

[28] Cerita lisan oleh Nik Salleh b Nik Musa

[29] Cerita lisan oleh Wan Jamin b Wan Mahmood.

1 comment:

Wan Mohd Hazim said...

Artikel ini telah digunakan untuk menyokong usul dalam mesyuarat agong PIBG SK Pasir Pekan untuk menukar nama SK Pasir Pekan kepada SK Wan Ali pada mac 2008 yang lalu tetapi gagal kerana mendapat tentantgan dari AJK PIBG SK Pasir Pekan. Dari itu timbul persoalan dimanakah silapnya menyebabkan usaha itu gagal. Idea penukaran nama sekolah itu datangnya dari Tg. Muniratussaniah semasa penulis menenmubual beliau tentang riwayat hidup datuknya Wan Ali.Penulis telah menemui Pegawai Penyelidik Perbadanan Muzium Kelantan Dato' Salleh untuk mencari bahan tentang Wan Ali kalau-kalau ada. Dalam pertemuan penulis dengan Dato' Salleh, penulis telah meminta pandangan beliau tentang kewajaran penukaran nama sekolah SK Pasir Pekan kepada SK Wan Ali, ternyata secara peribadi Dato' Salleh menyokong cadangan itu. Tg. Muniratussaniah kemudiaanya secara lisan telan menyatakan hasratnya kepada pihak Guru Besar iaitu Hajjah Samehah bt Che Omar dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Mas/Tumpat iaitu Encik Zahari b Daud dalam satu majlis makam malam anjuran PIBG SK Pasir Pekan, ternyata secara peribadi kedua mereka bersetuju dengan hasrat Tg. Muniratussaniah itu dan meminta Tg. Muniratussaniah menulis surat permohonan. Pertemuan kali kedua antara Tg. Muniratussaniah dengan pihak pentadbir sekolah telah diadakan di rumah Tg. Muniratussaniah, ternyata dalam pertemuan itu sekali lagi pihak sekolah bersetuju menimbangkan hasrat Tg. Muniratussaniah.Tg. Muniratussaniah kemudiannya telah menulis surat permohonan kepada YDP PIBG SK Pasir Pekan, namun pihak PIBG telaha mengambil sikap memmbisu. Sikap membisu YDP PIBG SK Pasir Pekan mengundang rasa tidak puas hati Tg. Muniratussaniah lalu meminta anaknya Dato' Tg. Idaura berunding dengan Pengarah Pelajaran Kelantan Encik Ismail b Mohd. Nor.Pehak Pengarah Pelajaran Kelantan pada dasarnya bersetuju, walaubagaimanapun pehak Tg. Muniratussaniah perlu mendapat persetujuan pihak PIBG terlebih dahulu. Terdapat khabar angin mengatakan AJK PIBG SK Pasir Pekan tidak bersetuju dengan idea Tg. Muniratussaniah, lalu Tg. Muniratussaniah meminta jasa baik Wan Jamin (bekas ahli Parlimen Tumpat), Wan Zakaria (bekas YDP PiBG SK Pasir Pekan) dan Wan Abdullah (bekas AJK Masjid Pasir Pekan) berunding dengan Haji Saufi YDP PIBG SK Pasir Pekan, ternyata Haji Saufi berdolak dalik. Wan Ali B Wan Sulaiman telah mengambil inisiatif baru dalam usaha merealisasikan hasrat Tg. Muniratussaniah, beliau telah menemui penulis, dan penulis mencadangkan agar satu usul tergempar diadakan dalam mesyuarat PIBG SK Pasir Pekan. Wan Ali dalam keadaan kesihatanya yang agak letih kerana masalah jantung telah berusaha berunding dengan pihak AJK PIBG SK Pasir Pekan, mencetak buku risalah kecil tentang riwayat hidup moyangnya Wan Ali, mengadakan upacara solat hajat di Masjid Pasir Pekan dan diikuti majlis jamuan kesyukuran di rumahnya, mengadakan jamuan makan tengah hari dengan pihak guru SK Pasir Pekan dan menaja makanan dan hamper untuk ibu bapa yang hadir dalam masyurat agong PIBG SK Pasir Pekan. Namun usaha Wan Ali itu ternyata sia-sia. Che Anas (Guru Besar SK Sri Kampong Laut dan isteri kepada YDP PIBG SK Pasir Pekan) telah menentang usul yang dibawa oeh penulis dan mendapat undi majoriti kaum ibu yang hadir. Di sisni timbul persoalah apakah yang sebenarnya berlaku? Apabila diselidiki rupa-rupan dalam masalah penukaran nama sekolah itu, keluarga Wan Nuh terbahagi kepada tiga, satu kumpulan mewnyokong, satu kumpulan lagi berkecuali dan satu kumpulan lagi menentang. Bagi kumpulan yang berkecuali meka melaihat usaha penukaran nama sekolah tak lebih dan tak kurang hanya untuk mencari populariti dan kalaulah menjadi akan hanya menghadiskan wang secara "sia-sia". Dalam kata lain usaha menukar nama sekolah hasilnya tidak berbalaoi dengan usaha yang dibuat. Paling menyedihkan kumpulan yang berkecuali ini terdiri dari Wan Abdullah (bekas AJK Masjid Pasir Pekan), Wan Jamin (bekas Ahli Parliman Tumpat) dan Wan Zakaria (bekas YDP PIBG SK Pasir Pekan), kata-0kata mereka saya tak seberapa (berminat) sudah cukup kuat untuk membingungkan orang lain. Kumpulan yang menentang terdiri dari kumpulan yang diketuai oleh Wan Yusof b Wan Abdul Samad , bagi Wan Yusoff (secara menyindir) beliau berminat menukar nama SK Pasir Pekan kepada SK Wan Abdul Samad. Perkara ini dinyatakan dengan jelas dalam pertemuan yang dihadiri sama oleh YDP PIBG SK Pasir Pekan. Turut menentang penukaran nama SK Pasir Pekan kepada SK Wan Ali juga ialah Wan Noor Kamilah bt Wan Mohamad Nor, yang secara terang-terangan mencaci Tg. Muniratussaniah kerana kerana bagi beliau usaha menukar nama sekolah adalah kerja bodoh dan sia-sia walaupun pada hakikatnya beliau telah dilantik oleh Hajjah Samihan sebaagai penghubung antara pihak pentadbir SK Pasir Pekan dengan keluarga Wan Ali. Manakala bagi Haji Saufi dan isterinya Che Anas inilah masanya untuk mereka mengukuhkan kedudukan mereka di Mukim Pasir Pekan.