Tuesday, September 29, 2009

Wan Jamil Wan Mahmood

Ustaz Haji Wan Jamil dalam Kenangan

(Haji Wan Jamil dari keturunan Wan Nuh melalui Wan Abdullah sebelah bapanya, Wan Mahmood manakala sebelah ibunya, Wan Saadah adalah keturunan Wan Nuh melalui Wan Ali).

Yang Dipertua PAS Tumpat, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmood, 63 meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian kira-kira jam 1 pagi 28 Februari 2009.

Beliau dirawat di hospital berkenaan sejak lebih sebulan lalu akibat jangkitan kuman di bahagian buah pinggang.

Sebelum ini Allahyarham yang juga mantan anggota Parlimen Tumpat sudah beberapa kali dirawat di hospital tersebut sejak tahun lalu (2008).

Allahyarham mendapat pelajaran asas di SRK Pasir Pekan dan kemudiannya menyambung pelajaran ke peringkat menengah di Madrasah al Falahiah sebelum ke Maahad Muhammadi. Beliau merupakan graduan perundangan Universiti Islam Indonesia dan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti of London, England. Malangnya beliau tidak sempat menghabiskan pelajaran peringkat sarjananya kerana kesuntukan wang untuk membiayai pelajarannya di England. Sekembalinya ke Kelantan beliau telah bertugas sebagai guru di sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan. Beliau meletak jawatan sebagai guru kerana mahu bergiat cergas dalam bidang politik. Pada tahun 1991 beliau telah bertanding di Parlimen Tumpat dan menang bagi dua penggal berturut-turut. Selain itu beliau juga merupakan penyelia Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubur dan Ketua Whip Majlis Daerah Tumpat serta bekas Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Arniwati Sabirin merupakan anggota jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kelantan. Isterinya berasal dari Bukit Tinggi, Sumatera, Indonesia.


Setiausaha PAS Tumpat, Jamaluddin Ishak berkata, kematiannya merupakan kehilangan besar bagi PAS Tumpat dan Kelantan memandangkan Allahyarham merupakan seorang tokoh politik yang disegani kawan dan lawan.

“Malah kepimpinannya begitu menonjol ketika menjadi anggota parlimen Tumpat kerana aktif mengambil bahagian bagi menyuarakan masalah rakyat,” katanya.

Jenazahnya disembahyang di Masjid Pasir Pekan tidak jauh dari rumahnya. Ia diimamkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dan jenazahnya disemadikan di tanah perkuburan kampung tersebut.

Artikel ini diolah dan dipetik dari Harakahdaily. Sebuah buku biografi Allahyarham Haji Wan Jamil sedang diusahakan oleh seorang penulis khas dari Kelantan

Wednesday, October 8, 2008

Wan Idris


HAJI WAN IDRIS BIN HAJI WAN TAIB
(1930/1348H – 12 Mac 2003/9 Muharram, 1424H) 1

Oleh: Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah

Seorang tokoh yang disegani dan pejuang masyarakat. Terkenal sebagai seorang yang amanah dan jujur dalam urusannya dengan masyarakat. Beliau juga gigih dalam menuntut ilmu dan berusaha mengembangkan pendidikan anak bangsa melalui sekolah. Melalui politik beliau berusaha dan bergiat menyedarkan rakyat untuk kemerdekaan dan pembangunan masyarakat kampung.


Foto: Wan Idris (tengah) dan adiknya,

Wan Muhamad Tahir (kanan, bersongkok)

Gambar dirakam tahun 1950an


Dalam memenuhi misi perjuangannya, beliau bukan sahaja mengorbankan tenaga tetapi juga harta bendanya. Inilah tokoh unik dalam keluarga keturunan Wan Nuh yang bernama Wan Idris b. Wan Taib b. Wan Abdullah b. Wan Nuh.


Kelahirannya


Haji Wan Idris bin Haji Wan Taib dilahirkan pada tahun 1930M /1348H di Kampung Bharu, Pasir Pekan, Kelantan oleh ibunya, Wan Mariam binti Wan Abu Bakar bin Wan Uthman. Moyang ibunya berasal dari Pattani yang dikenali sebagai Tok Chir. Ibu dan bapanya adalah sepupu kerana nenek sebelah ibunya iaitu Wan Halimah bt. Wan Nuh adalah adik kepada datuk sebelah bapanya iaitu Wan Abdullah Wan Nuh. Bapanya Wan Taib bin Wan Abdullah mewarisi perniagaan keluarga melalui ayahnya, Wan Abdullah bin Wan Nuh yang merupakan seorang peniaga dan pedagang. Keluarganya juga pemilik ladang (estet) getah di Kuala Nal.



Foto: Wan Taib bin Wan Abdullah (Bapa Wan Idris)


Pendidikannya

Haji Wan Idris mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan dan kemudian menyambung pengajian ke sekolah yang diasaskan oleh bapa saudaranya, Haji Wan Adam iaitu Sekolah Agama Falahiah. Selepas itu sekitar tahun 1941-42 ketika berumur 13 tahun beliau merantau ke Singapura untuk berguru dengan Kiyai Sheikh Fadhullah Suhaimi anak Kiyai
Agung Sheikh Muhammad bin Abdullah Suhaimi, di Madrasah al-Ma’rif al-Islamiyah di Ipoh Road, Singapore.

Sheikh Fadhullah Suhaimi yang mengajar ilmu tafsir dan fiqh di madrasah itu adalah antara tokoh yang mengasaskan PAS pada tahun 1951 dan turut berjuang menentang British. Haji Wan Idris tinggal di asrama madrasah tersebut dan akhirnya menjadi begitu rapat dengan anak-anak Pak Kiyai gurunya itu termasuklah dengan Ustaz Taha Suhaimi.

Ustaz Taha adalah pengasaskan PAS Singapura. Haji Wan Idris berada di Singapura ketika meletusnya Perang Jepun. Ketika di Singapura itu jugalah beliau berkesempatan menziarahi pusara moyangnya Wan Nuh.













Ustaz Taha Suhaimi, kenalan rapat Allahyarham Haji Wan Idris







Sekembalinya dari pengajian di Singapura, beliau meneruskan pengajian di Maahad Muhammadi Kota Bharu sehingga tamat kelas 7, dan sementara meneruskan pengajian beliau belajar seketika di sebuah sekolah swasta yang masyhur di Kelantan iaitu Sekolah Inggeris Islah (IES), Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Di sekolah inilah beliau berkesempatan belajar dengan (Tan Sri) Syed Jaafar Albar yang kemudiannya bergelar 'Singa UMNO' itu. Syed Jaafar adalah pengasas Sekolah Inggeris Islah dan beliau ketika itu adalah Guru Besar sekolah tersebut. Anaknya, Syed Hamid Albar adalah antara murid sekolah ini. 2




Setelah itu dalam usahanya untuk menyambung pengajian, Haji Wan Idris telah merantau ke sebelah barat semenanjung bermula dari Johor beliau turun ke Melaka sehingga ke Perak dan didapati banyak sekolah agama ketika itu masih tergendala dan ditutup walaupun perang Jepun sudah tamat. Sehinggalah beliau sampai ke Kedah, beliau mendapati ada sebuah sekolah di Alor Setar yang sangat masyhur di negeri itu iaitu Maktab Mahmud3 yang terus beroperasi walaupun ketika Perang Jepun4. Beliau cuba memohon untuk memasuki Maktab tersebut. Malangnya permohonan beliau itu ditolak atas alasan pihak maktab tidak menerima pelajar dari luar Kedah. Namun, pihak sekolah memberikan cadangan sekiranya beliau tetap ingin memasuki maktab tersebut, beliau boleh cuba memohon secara bersurat terus kepada Sultan Kedah sendiri kerana kuasa tertinggi terletak di tangan sultan.

Kerana tekad yang kuat untuk memasuki Maktab Mahmud, beliau telah mengutuskan surat kepada baginda sultan. Suratnya mendapat perhatian khusus pihak istana yang akhirnya bukan sahaja baginda memperkenankan permohonan beliau itu malah syarat kemasukan telah dipinda bagi membolehkan pelajar luar Kedah untuk turut memohon. Secara tak langsung Haji Wan Idris telah berjasa kepada pelajar-pelajar lain dari luar Kedah untuk mendapat peluang pendidikan di Maktab Mahmud yang terkenal itu. Haji Wan Idris menjadi pelajar Maktab Mahmud sehingga tamat pengajian.

Selesai sahaja pengajiannya di Maktab Mahmud, beliau berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir. Beliau amat terdorong untuk ke Mesir apabila sahabatnya Hassan Salleh (kemudiannya bergelar Dr. dan berkhidmat sebagai pensyarah di UKM) menyambung pengajian ke sana. Namun begitu, keinginannya itu dihalang oleh bapanya yang mendapat nasihat daripada bapa saudaranya Haji Wan Adam yang bimbang akan pengaruh pemikiran dan budaya yang tidak sihat di sana. Persepsi negatif terhadap pengajian di Mesir mungkin wujud kerana ketika itu tidak ramai anak melayu Kelantan yang melanjutkan pelajaran ke Mesir berbanding Mekah. Halangan ini tidak memadamkan keazamannya untuk menimba ilmu. Dari Kelantan, beliau berpakat pula dengan sepupunya Wan Musa Wan Sulaiman untuk melanjutkan pengajian ke Indonesia tanpa pengetahuan orang tuanya. Namun sekali lagi niat beliau telah tersekat apabila beliau ditahan ketika hendak belayar ke Indonesia. Mengetahui anaknya hendak berlepas ke Indonesia dari Pulau Pinang, orang tuanya segera menghantar telegram kepada Yamahad @ Wan Muhammad Wan Abu Bakar (saudara dua pupu kepada Haji Wan Idris) yang ketika itu menetap dan membuka kedai jahit di Bukit Mertajam. Wan Muhamad diminta supaya menahan dan memujuk dua anak muda itu untuk pulang. Mereka menghormati kehendak keluarga dan terus dibawa pulang ke Kelantan. Kali ini alasan keluarganya menghalang pemergiannya ke Indonesia pula adalah supaya beliau mewarisi dam mengusahakan perniagaan keluarga.

Beliau sangat sedih dan patah hati kerana niatnya untuk sambung belajar terhalang. Untuk seketika beliau memerap di rumah dan tidak ingin bekerja. Namun, walaupun hatinya lebih cenderung kepada dunia pengajian, akhirnya beliau tunduk dan akur kepada kemahuan keluarganya supaya berpakat dengan saudara-maranya yang lain untuk mengusahakan perniagaan di Gudang Share (Pakatan) 5. Dikatakan beliau diberikan modal permulaan sebanyak 10,000 ringgit oleh orang tuanya dengan harapan beliau akan mewarisi perniagaan keluarga.


Berkahwin

Setelah terlibat dengan perniagaan beliau telah dicarikan pasangan hidup oleh keluarganya. Beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan cucu Haji Yusuff penggawa di Kampung Kubang Batang, Tumpat iaitu Che Habsah Haji Hassan.6 Bapanya, Haji Hassan Ahmad adalah seorang tokoh politik PAS yang menjadi wakil rakyat PAS yang menang pilihanraya 1959. Mereka berkahwin pada tahun 1950 ketika Haji Wan Idris berumur 20 tahun manakala Hajjah Che Habsah ketika itu baru berumur 12 tahun.


Mengasas Sekolah

Sekolah Agama Asriyyah
Pada mulanya Haji Wan Idris membuka sekolah mengajar agama di rumah nenek saudara sebelah isterinya, Hajjah Zainab di Wakaf Baru. Kemudian sekolah itu berpindah ke bangunan Kelab UMNO Wakaf Baru. Beliau menggajikan sendiri tenaga pengajarnya. Setelah itu beliau berpakat dengan rakan-rakannya untuk projek menternak ayam lalu dibina bangsal ayam dengan bantuan kerajaan atas tanah Encik Ibrahim Tukang Rumah di Wakaf Bharu. Namun projek tersebut tidak berapa berjaya. Lalu dari bangsal ayam itulah akhirnya ditubuhkan sekolah agama rakyat sesi petang yang diberi nama Sekolah Asriyyah dan tanah itu diwakafkan oleh Encik Ibrahim sebagai tanah untuk pendidikan. Haji Wan Idris menjadi pengerusi sekolah tersebut.

Setelah beroperasi tidak berapa lama kemudian, Haji Wan Idris memohon peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk dinaiktarafkan kepada binaan bangunan batu. Guru-gurunya kebanyakan dipinjam dari Sekolah Naim dan ia terbuka kepada semua peringkat masyarakat dengan yuran sebanyak 3 ringgit sebulan.

Institut (Akademik) Zuhal


Apabila sekolah-sekolah agama rakyat kian merosot sambutannya daripada masyarakat dalam tahun akhir 60an dan awal 70an, Pada tahun 1976, Sekolah Asriyyah diubah kepada sekolah swasta yang terbuka kepada pengajian biasa. Sekolah ini dikenali sebagai Institut Zuhal yang beralamat di Jalan Lama, Wakaf Bharu. Menurut rencana Utusan Malaysia, 25 Mei 2008, Institut Zuhal adalah antara institusi pendidikan swasta yang terkenal di Kelantan sebaris dengan Institut Pendidikan (IP) Kota Bharu, Maktab Kadir Adabi, Institut Padang Merdeka Kota Bharu dan Institut Za'ba Pasir Mas. Peranan dan sumbangan institusi seperti Institut Zuhal ialah :

Ia memberi harapan kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran selepas memperoleh keputusan mengecewakan di peringkat Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang kini dikenali sebagai Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Ramai daripada lepasannya yang berjaya ke universiti kini memegang pelbagai jawatan penting dan berbangga dengan sekolah di mana mereka bangkit dari segi pencapaian setelah belajar dan mengulang semula peperiksaan.” (Utusan, 25/5/08)7

Ketika mula-mula dibuka, ia bermodalkan sumbangan Haji Idris dan sabahat-sahabat seperjuangannya termasuk Cikgu Ibrahim Salleh (foto kiri) yang kemudiannya menjadi Guru Besar atau Pengetua Institut itu manakala Haji Idris sendiri sebagai Pendaftarnya.


Ketika itu, mereka menggaji seramai 28 orang guru dan mempunyai seramai lebih 300 orang pelajar. Kemuncak jumlah pengambilan pelajar ialah sekitar tahun 79-80 apabila sekolah itu mempunyai seramai lebih 600 orang pelajar. Bilangan pelajar semakin merosot selepas 1987 (400 orang) apabila Kerajaan mula memperkenalkan sistem peperiksaan terbuka.8

Keluhuran jiwa Haji Wan Idris dalam urusannya dengan sekolah yang diasaskan dengan keringat dan kewangannya terpancar apabila beliau merasakan bahawa beliau masih berhutang dengan pihak sekolah. Setelah melihat kejayaan institusi yang diasaskannya itu boleh berdikari, beliau bersungguh-sungguh ingin melunaskan ‘hutang’nya itu yang dikatakan berjumlah beribu-ribu ringgit sedangkan mengikut pengetua Institut Zuhal, Cikgu Ibrahim b. Salleh, Haji Wan Idris tidak mempunyai sebarang hutang dengan sekolah, bahkan selama ini Haji Wan Idris banyak berhabis wang ringgit dan ikhlas berkorban tenaga untuk sekolah itu.

Pernah suatu ketika menjelang hari raya, sekolah menghadapi masaalah kewangan untuk membayar gaji guru. Kerana begitu simpati, beliau segera membayarkan gaji guru-gurunya dengan duit simpanannya sendiri. Beliau juga tidak mengambil gaji walaupun bertugas sebagai pendaftar sekolah itu. Lantaran itu Cikgu Ibrahim merasa begitu segan dan serba salah untuk berjumpa dengan Haji Wan Idris kerana beliau rasakan pihak sekolahlah yang sebaliknya terhutang dengan Hj Wan Idris. Inilah antara keganjilan sikap Haji Wan Idris, sehinggakan ironisnya orang yang dikatakan dihutangnya (pihak sekolah) mengelak untuk berjumpa orang yang berhutang (Haji Wan Idris)!

Pada tahun 2005, Institut Zuhal hanya tinggal kenangan apabila ia diserahkan kepada pentadbiran lain yang menukarkannya kepada Sekolah Rendah Islam An-Nur.


Perjuangan dan Kecenderungan Politik

British
Perjuangan menentang kezaliman sememangnya tertanam dalam jiwa Haji Wan Idris. Ketika Malaya di bawah penjajahan British sekitar tahun 1952, District Officer (D.O.) Che Mohd. Salleh b. Omar9 , Pegawai Daerah Tumpat telah bercadang untuk mengenakan cukai hasil kepada penduduk Wakaf Bharu sebagai langkah permulaan British, yang kemudiannya akan dilaksanakan di seluruh negara. Marah terhadap cadangan yang tentunya menzalimi rakyat itu, beliau telah menggerakkan bantahan awam (mass protest) untuk menggagalkan rancangan Kerajaan British itu. Selama sebulan siang dan malam beliau meredah segenap pelusuk kampung di sekitar Wakaf Bharu dengan hanya berbasikal untuk memberi kesedaran dan mengajak orang-orang kampung supaya bangkit memprotes cadangan pihak berkuasa itu. Mengetahui bahawa usul akan dibawa ke pihak Majlis Tempatan (Local Council) oleh D.O. Che Mohd. Salleh untuk mendapat kelulusan dan seterusnya dilaksanakan, Haji Idris mengajak rakyat di Wakaf Bharu supaya keluar beramai-ramai pada hari persidangan Local Council untuk mengadakan bantahan awam dan seterusnya member tekanan agar pihak majlis menolak usul tersebut.

Sebaik sahaja mendapat maklumat beliau akan ditangkap oleh pihak berkuasa yang menganggap beliau sebagai dalang yang mempengaruhi orang ramai untuk menggagalkan rancangan British itu, Haji Wan Idris pergi bersembunyi dalam semak di pinggir sungai di kampungnya selama 3 hari iaitu sehingga sampai hari mesyuarat Local Council. Apabila tiba hari yang dinanti-nantikan itu, ternyata usahanya untuk menggerakkan kebangkitan rakyat tempatan berjaya dengan orang-orang kampung keluar beramai-ramai mengadakan protes awam di luar dewan mesyuarat sehingga memberikan tekanan kepada pihak Local Council untuk membatalkan hasrat melaksanakan cukai hasil yang menzalimi rakyat itu.

Peristiwa ini mengingatkan kita kepada penentangan Tok Janggut (Haji Mat Hassan) dan Berahim Teleng terhadap Kerajaan British. D.O. Pasir Putih, Che Abdul Latif mengenakan cukai hasil pertanian terhadap penduduk Pasir Putih. Akhirnya Tok Janggut dan Ibrahim Teleng syahid dibunuh dan disemadikan di Pasir Pekan pada tahun 1915.10

Cara penentangan Haji Wan Idris dan Tok Janggut mungkin berbeza tetapi matlamat mereka sama iaitu menentang penjajahan British dan talibarutnya yang menindas penduduk pribumi. Menariknya, mereka telah ditakdirkan sama-sama disemadikan di bumi Pasir Pekan.


UMNO
Ketika UMNO ditubuhkan di Wakaf Bharu, Haji Wan Idris masih belum terlibat dengan parti. Beliau hanya bergiat cergas dengan UMNO apabila pengasas UMNO, Dato’ Onn keluar UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951 dan kerana gagal dapat sokongan orang Melayu beliau kemudiannya menubuhkan Parti Negara pada 1954. Haji Wan Idris menentang hasrat Dato’ Onn yang ingin membuka UMNO kepada semua kaum.

Beliau terlibat berkempen dalam pilihanraya 1955 membantu parti Perikatan bagi parlimen Tumpat (ketika itu dikenali sebagai Kelantan Utara) menentang Parti Negara. Ketika itu Perikatan yang diwakili oleh Tungku Indera Petra mengalahkan calon Parti Negara iaitu bekas D.O. Tumpat, Dato’ Nik Hussein bin Nik Zainal.

Melalui UMNO, Haji Wan Idris giat berjuang menuntut kemerdekaan Malaya. Selepas Merdeka, dalam pilihanraya 1959 peringkat negeri, beliau dipilih sebagai calon UMNO di DUN Tumpat Timur, manakala bapa mertuanya, Haji Hassan Ahmad bertanding sebagai calon PAS dalam pilihanraya peringkat Parlimen Tumpat. Takdir tidak menyebelahi beliau apabila pilihanraya 1959 menyaksikan PAS memenangi 28 dari 30 kerusi sehingga menguasai negeri Kelantan. UMNO hanya menang satu kerusi di Kuala Krai dan MCA menang satu kerusi di Kota Bharu. Beliau yang mewakili UMNO/Perikatan kalah di peringkat negeri sebaliknya bapa mertuanya Haji Hassan Haji Ahmad menang sebagai wakil rakyat PAS peringkat Parlimen di Tumpat. Haji Wan Idris kalah dengan calon PAS, Che’ Ishak bin Mustapha dengan majoriti 745 undi.11

Setelah kalah pilihanraya, beliau telah dilantik oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Penyelia KEMAS Tumpat di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar (KPNLB) yang ketika itu di bawah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan juga Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

Dalam parti UMNO beliau pernah memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO Kelantan dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat.

Sebagai bekas calon yang kalah dalam pilihanraya sebelumnya beliau tidak lagi dicalonkan oleh UMNO dalam pilihanraya 1964. Namun begitu beliau tetap aktif dalam UMNO.

Ketika memegang jawatan Penyelia KEMAS beliau juga diamanahkan untuk mengagihkan serta menyalurkan peruntukan projek-projek pembangunan di daerah Tumpat. Tentu sekali beliau tidak sunyi daripada fitnah seperti dituduh menyeleweng dan juga mengundang perasaan dengki daripada pihak-pihak yang berkepentingan sehingga Tengku Razaleigh Hamzah sedikit sebanyak terpengaruh. Oleh kerana beliau dikenali sebagai seorang yang amanah dan jujur, beliau terhindar dari jerat fitnah orang. Beliau cukup teliti dalam urusan kewangan dan akan mempastikan setiap sen dikembalikan kepada yang berhak. Rumah beliau di Kampung Baru, Pasir Pekan dijadikan tempat guru-guru penyelia kelas dewasa di bawah beliau untuk datang mengambil gaji yang dibayar secara tunai. Menurut isterinya, Haji Idris seorang yang berkira sehingga 5 sen pun dia tidak mahu terlibat dengan duit orang lain. Beliau akan menolak segala pemberian hadiah orang-orang yang berkepentingan kerana ketika itu ramai bercita-cita untuk jadi guru penyelia. Beliau dikenal sebagai seorang yang sangat tegas sehingga akan memecat guru-guru penyelia yang tidak menjalankan tanggungjawab mengajar. Beliau hanya melantik guru kelas dewasa berdasarkan kelayakan bukan kerana kepentingan tertentu.

Selain itu, beliau amat mengambil berat terhadap kebajikan dan hak masyarakat bawahan. Tengku Razaleigh dikatakan telah membuat janji dalam kempen pilihanraya untuk menaikkan elaun penyelia kelas dewasa. Namun janji itu tidak ditunaikan, malah timbul ura-ura pula mungkin sebaliknya elaun mereka akan diturunkan pula. Sebaik sahaja sampai ke telinga Haji Wan Idris, beliau terus menggerakkan mogok di kalangan semua penyelia sehingga Tengku Razaleigh terpaksa turun padang memujuk para penyelia yang mogok itu untuk kembali bertugas.

Selepas peristiwa ini, Haji Idris tidak lagi bergiat aktif dalam UMNO.


Parti Bebas Bersatu dan Berjasa
Haji Wan Idris kurang senang apabila dua parti besar yang mewakili Islam dan Melayu iaitu PAS dan UMNO bergabung dalam Kerajaan Campuran (1973) dan seterusnya Barisan Nasional (pilihanraya umum 1974) telah mengakibatkan hampir tiada pembangkang Melayu dalam Parlimen. Tunku Abdul Rahman, bekas Perdana Menteri ketika itu telah mengemukakan idea agar diwujudkan Parti Bebas Bersatu supaya orang-orang Melayu bertanding sebagai calon bebas dalam pilihanraya 1974 melawan Barisan Nasional. Mengambil nasihat Tunku itu dan setelah dipujuk oleh Mohd Fakharuddin Haji Abdullah , bekas ahli Palimen PAS Pasir Mas Hilir 1969, Haji Wan Idris bertanding sebagai calon Bebas Bersatu bagi Parlimen Tumpat.12 Di Kelantan, Parti Bebas Bersatu dipimpin oleh Mohd Fakharuddin Haji Abdullah sendiri. Kesemua calon parti Bebas Bersatu kalah dalam pilihanraya tersebut termasuk Haji Wan Idris. Meski pun beliau bertanding melawan BN, beliau masih tidak dipecat dari UMNO sedangkan kawan-kawannya yang lain ada yang dipecat kerana menentang BN dalam pilihanraya tersebut.

Apabila berlaku krisis politik dalam kerajaan PAS Kelantan sehingga parti itu dikeluarkan dari Barisan Nasional parti serpihan PAS iaitu Parti Berjasa pimpinan Dato’ Muhammad b. Nasir ditubuhkan sebagai menggantikan PAS dalam BN. Menjelang pilihanraya umum 1978, sekali lagi Haji Wan Idris dipujuk untuk bertanding sebagai calon Berjasa di Parlimen Tumpat. Kali ini beliau dengan tegas menolak tawaran tersebut kerana merasakan sudah cukup terlibat sebagai calon pilihanraya. Beliau sekadar memegang jawatan Ketua Berjasa Cawangan Kampung Baru.


PAS
Apabila PAS kembali menerajui Kelantan setelah memenangi pilihanraya umum 1990, meskipun sudah bersara dari terlibat dengan politik kepartian, beliau mengikuti dengan penuh minat perkembangan politik khususnya di Kelantan. Beliau menyanjung tinggi kepimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membawa era kepimpinan ulamak dalam PAS dan seterusnya meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Kepimpinan yang jujur dan amanah Menteri Besar Kelantan itu sememangnya selari dan serasi dengan jiwa Haji Wan Idris sendiri.

Haji Wan Idris dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sememangnya saling mengenali kerana ketika Haji Wan Idris berkhidmat sebagai Penyelia KEMAS, Nik Abdul Aziz (dulunya Ustaz) adalah salah seorang penyelia dan guru agama kelas dewasa antara tahun 1962-1964.
Manakala bapa Nik Abdul Aziz, iaitu Lebai Ni'mat Kedai Lalat adalah rakan kepada pakciknya, Tuan guru Haji Wan Adam.

Berbanding PAS, baginya, UMNO (ketika itu dibawah pimpinan Dr. Mahathir) sudah lari dari landasan perjuangannya yang asal. Perebutan jawatan parti, mengejar kekayaan dan projek, rasuah dan penyelewengan semakin merosakkan UMNO . Beliau meninggalkan UMNO kerana perjuangan sebenar sudah tiada dalam UMNO.13


Jawatan dalam Persatuan dan Masyarakat

Haji Wan Idris juga aktif dalam persatuan-persatuan dan bertanggungjawab dalam menjaga kepentingan pendidikan, ekonomi dan keagamaan masyarakat setempat, antaranya ialah:

Pengerusi PIBG Sekolah Falahiah
Pengerusi PIBG Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan
Pengerusi Syarikat Kerjasama Kilang Padi Lambor, Kubang Batang
Pengerusi Syarikat Kerjasama Kilang Padi Pasir Pekan14
Imam Masjid Khairiah Kampung Baru (sekarang adiknya Ustaz Wan Muhamad Tahir
menggantikan beliau menjadi imam
)

(Foto kanan: Masjid Khairiah sekarang yang menggantikan surau kayu. Masjid baru ini telah dirasmikan oleh Tuan Guru Menteri Besar Kelantan)


Atas jasa dan perjuangannya terutama ketika melawan penjajahan British dahulu, maka pihak UMNO Kelantan memaklumkan bahawa pada akhir tahun 1989 nama Haji Wan Idris telah dicatitkan dalam senarai penerima pingat kebesaran daripada Sultan Kelantan. Namun sebaik sahaja Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pimpinan PAS mengambilalih kerajaan pada tahun 1990, senarai nama penerima pingat yang dicadangkan UMNO itu dengan sendirinya terbatal. Haji Wan Idris sebenarnya tidak langsung mengharapakan pingat kebesaran di dunia ini kerana katanya beliau berjuang kerana akhirat dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.


Amalan Rohaniah

Haji Wan Idris adalah seorang yang banyak mengamalkan wirid dan zikir dalam hidupnya. Tidak diketahui secara khusus akan guru yang mengajarnya amalan kerohanian. Tetapi berdasarkan latar belakang pengajiannya terdapat guru-guru yang berkemungkinan besar menjadi murabbi beliau, antaranya seperti Kiyai Fadhlullah Suhaimi.

Walaupun dalam kesibukan urusan hariannya bibir dan hati beliau tidak lekang dengan zikrullah. Sekiranya beliau bermusafir atau membawa kereta beliau akan banyak berdiam sambil berzikir.

Di samping itu beliau beristiqamah untuk bangun setiap malam untuk berzikir dan bersolat tahajjud di bilik yang dikhas oleh beliau untuk bertaqarrub dan bermunajat kepada Allah sehingga akhir hayatnya.

Terjadi peristiwa pelik yang berlaku sebaik sahaja beliau menghembuskan nafas terakhir. Jenazahnya diziarahi oleh 3 ekor ayam yang cantik. Rumahnya yang bertangga tinggi hampir tidak pernah dimasuki ayam sebelum ini. Tentu sekali kehadiran ayam-ayam itu yang merupakan ‘tetamu’ paling awal itu mengejutkan beberapa ahli rumah yang ada ketika itu. Apabila ayam-ayam itu dilihat meluru ke arah jenazah, salah seorang ahli keluarganya terus mengambil seekor demi seekor ayam-ayam yang jinak itu dan dicampak ke luar rumah.

Peristiwa ini hanya menjadi bertambah pelik apabila isteri Haji Wan Idris menceritakan kepada anaknya Wan Mohamad Radzali. Anaknya itu lantas teringat pada ketika beliau bercadang memulakan perniagaan menjual nasi belauk di Wakaf Bharu. Beliau menyuarakan kepada ayahnya tentang kerisauannya kalau kedai yang akan diusahakan itu nanti tidak mendapat sambutan. Haji Wan Idris memberi kata semangat dan menyuruh anaknya itu supaya tetap membuka kedai makan itu. Maka pada awal pagi hari pertama anaknya membuka kedai makan tersebut, beliau didatangi oleh para 'tetamu’ yang pertama iaitu 3 ekor ayam yang cantik. Beliau terus menghalau ayam-ayam itu keluar dan kemudiannya ayam-ayam itu terus pergi menghilang dari pandangannya.


Meninggal Dunia

Setelah berjuang untuk menegakkan Islam dan memajukan masyarakat beliau telah
dipanggil pulang oleh Allah dalam usia 73 tahun. Beliau meninggal dunia pada pagi Rabu, 12 Mac 2003 bersamaan 9 Muharram 1424H meninggalkan begitu banyak jasa kepada masyarakat. Keprihatinan beliau terhadap nasib ummat Islam tetap membara walaupun di saat-saat akhir kematiannya. Walaupun sangat uzur, beliau begitu celik terhadap permasaalahan politik semasa termasuk yang menimpa umat Islam seperti di Iraq. Beliau meninggal tidak lama selepas menonton berita dunia yang ketika itu melaporkan serangan ganas Amerika Syarikat di Iraq. Kemarahan beliau kepada Presiden A.S. George W. Bush diluahkan kepada isterinya ketika bersarapan pagi di hari beliau bakal kembali mengadap Allah sehari sebelum hari Asyura.


Anak-anaknya

Beliau telah meninggalkan lima orang anak iaitu Wan Ahmad Sabri (meninggal dunia), Wan Mohamad Radzali, Wan Fadhilah Nor, Wan Mohamad Fadli dan Wan Muzani.

Sebelum meninggal beliau ada berpesan kepada anak-anaknya supaya banyak menyedekahkan pahala amal kepadanya setelah beliau meninggal dunia sepertimana beliau sendiri tidak putus bersedekah pahala kepada orang tuanya. Beliau mewasiatkan supaya anak-anaknya banyak membaca surah al-Ikhlas dan berdoa untuknya di alam kubur.

Ini mungkin berdasarkan pengalaman yang beliau sendiri alami. Suatu ketika selepas bonda tercintanya meninggal dunia beliau bermimpi ibunya berada dalam satu bilik yang malap dengan hanya bercahayakan pelita kecil yang hampir terpadam. Apabila tersedar dari mimpi anehnya itu, beliau terus membayar zakat yang mungkin ibunya ada terhutang serta menyedekahkan segala pahala amalan soleh untuk ibunya. Sambil itu beliau banyak berdoa memohon rahmat dan keampunan Allah kepada ibunya yang berada di alam barzakh. Tidak lama selepas itu beliau didatangi mimpi sekali lagi. Kali ini beliau lihat ibunya berada dalam bilik yang terang bercahaya. Dilihat betapa ibunya senyum gembira sambil memakai mahkota yang bergemerlapan. 15

Haji Wan Idris sangat memuliakan ibunya, Hajjah Wan Mariam sehinggakan ketika hendak bercakap dengan ibunya di rumah beliau akan terlebih dahulu duduk merendah diri di hadapan ibunya. Setiap kali beliau pulang ke rumah walaupun penat macamana sekalipun, beliau akan telebih dahulu pergi mengadap ibunya dan bertanya khabar. Selepas berjumpa ibunya itu barulah beliau meneruskan urusan lain di rumah. Beliau tinggal dengan ibunya walaupun beliau boleh sahaja membina rumah sendiri di atas tanah pusaka miliknya.

Anak-anaknya diberikan galakan kuat malah beliau sanggup menjual beberapa keping tanah semata-mata untuk perbelanjaan kewangan pendidikan mereka agar menjadi orang yang berjaya dalam pengajian sampai ke peringkat universiti di dalam dan luar negara. Anak sulungnya, Wan Ahmad Sabri dihantar belajar ke India, manakala Wan Mohd Fadli dibiayainya sampai ke Pakistan. Anak perempuannya, Wan Fadhilah Noor mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian Ijazah Undang-Undang di England manakala anak bongsunya Wan Muzani berjaya ke Universiti Islam Antarabangsa (UIAM). Beliau tidak mahu anak-anaknya terhalang untuk belajar sepertimana beliau alami dahulu. Sebelum itu, adik bongsunya, Haji Wan Muhamad Tahir Wan Taib telah mendapat sokongan kuat beliau untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir sehingga pulang menjadi pensyarah di UiTM (kini bersara).

Semoga cebisan kisah Haji Wan Idris ini menjadi teladan dan menyuntik semangat di kalangan generasi muda keluarga keturunanWan Nuh. InsyaAllah.


Wallahua’lam

_________________________________________________________________
Nota hujung

1 Sebahagian besar dari kandungan rencana ini bersumberkan temubual dengan Hajjah Che Habsah Haji Che Hassan, isteri Allahyarham Haji Wan Idris pada 30 September 2008 dan Wan Fadhilah Nor (anak Haji Wan Idris) pada 2 Oktober 2008.


2 Hamzah Sidek, Wawancara dengan Tan Sri Syed Jaafar Albar : Sebagai Jambatan Parti, Mastika, Ogos 1976, hal. 4. Beliau menjadi Ketua Penerangan UMNO(1949), Setiausaha Agung UMNO (1963) dan Pemuda UMNO (1976). Ini bererti beliau menjadi Pengetua Islah sekitar tahun 1945-1948. Rujuk juga Yazid Othman, A. Samad Ismail Adalah Mahaguru Wartawan Yang Cemerlang, http://yazidothman.com/content/view/80/12/. Menurut Yazid,” Pada hari terakhir saya di Islah English School Kota Bharu Kelantan yang lebih dikenali dengan nama IES , setelah tamat Tingkatan Lima, (iaitu sebuah Sekolah Inggeris Swasta terkenal di Kelantan, terletak di Jalan Pengkalan Chepa, yang dikendalikan oleh seorang Pengetua berbangsa Inggeris dan diasaskan oleh Allahyarham Tan Sri Jaafar Albar di mana antara muridnya ialah Dato’ Seri Hamid Albar, Menteri Dalam Negeri sekarang, anak Pengasas itu sendiri)”

3 Maktab Mahmud atau Al-Maadah Al-Mahmud telah ditubuhkan pada hari hari Jumaat 29 Rabiul Awal 1355 H bersamaan 19 Jun 1936 M. Perletakan batu asas telah disempurnakan oleh DYMM Tunku Mahmud Ibni Al Marhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarramul Shah, Regent and President State and Council Kedah. Maktab Mahmud kemudiannya dibuka secara rasminya oleh DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Negeri Kedah Darulaman pada ketika itu.

Tujuan utama Baginda adalah untuk menjadikan sebagai pusat penyebaran agama Islam, Bahasa Arab serta mengeluarkan tokoh-tokoh agama. Tambahan pula Baginda berpendapat Negeri Kedah memerlukan Kolej Islam setanding dengan sekolah-sekolah Inggeris pada masa itu, sistem pendidikannya menggunakan sistem pendidikan Mesir (Al-Azhar). Sumbangan Maktab Mahmud melahirkan tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan menentang Malayan Union dengan menubuhkan Persatuan Ulama Kedah pada 9 Februari 1946 yang telah berjaya menyatukan keseluruhan ulama Kedah menentang Malayan Union. Sila rujuk http://ms.wikipedia.org/wiki/Maktab_Mahmud#Tokoh

4 Temubual dengan Encik Suhaimi Long pada 10 Oktober 2008, bekas penuntut Maktab Mahmud. Menurutnya Maktab Mahmud adalah satu-satunya pusat pengajian agama yang terus dibuka dan tidak tergendala oleh perang Jepun dan Zaman Darurat. Mungkin kerana ianya mendapat naungan langsung dari Sultan Kedah.

5 Rujuk Wan Mohd Hazim Wan Abdullah, ‘Gudang Syer’, artikel keluarga Wan Nuh, www.wannuh.com

6 Hajjah Zainab adalah ibu saudara kepada bapa mertuanya, Hj. Hassan b Ahmad. Hajjah Zainab merupakan adik kepada ibu Hj. Hassan, iaitu arwah Tok Yah.

7 Lihat Utusan Malaysia, 25 Mei, 2008.

8 Temubual dengan Cikgu Ibrahim b. Salleh, bekas Pengetua Institut Zuhal pada 9 Oktober 2008.

9 Che Salleh b. Omar adalah D.O. ke-3 yang memegang jawatan dari 1 Mac 1951 hingga 15 Mac 1953. Sumber: Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat. Menurut Che Habsah Hj. Hassan, Che Mohd Salleh ada pertalian kekeluargaan dengan Dato’ Perdana, Kota Bharu.

10 Lihat Nik Anuar Nik Mahmud, Tok Janggut Pejuang atau Penderhaka?,UKM, 1999.

11 Haji Mohd Amin Yaakub, Sejarah Pemerintahan PAS Kelantan 1959-1990: Bhg.I, Pusat Kajian Strategik, Kota Bharu: Ogos 2001, hal 146. Haji Wan Idris (Perikatan) mendapat 2,754 undi berbanding Che’ Ishak (PAS) sebanyak 3,469 undi.

12 Lihat Mohd Asri Haji Muda, Memoir Politik Asri: Meniti Arus, UKM:1993, hal. 103. Menurut Dato’ Asri ahli-ahli PAS yang menjadi calon Parti Bebas Bersatu ini terdiri daripada mereka yang kurang senang dengan penyertaan PAS dalam Barisan Nasional

13 Pandangan ini diluahkan oleh Haji Wan Idris ketika penulis berkesempatan bersembang politik dengannya sekitar tahun 2001-2002.

14 Kedua-dua syarikat Kerjasama Kilang Padi ini ditubuhkan oleh bapa saudaranya, Haji Wan Sulaiman pada tahun 1957.

15 Sebagaimana diceritakan oleh anak saudaranya, Wan Mohd @ Pauzi b Wan Yunus pada 3 Oktober 2008