Tuesday, October 7, 2008

Wan Adam



TOK GURU HAJI WAN ADAM[1]

(1909 – 1957)

Oleh: Ismail Awang

Seorang ulama’ yang berusaha mengembangkan pengajian Islam melalui sekolah, berusaha dan bergiat menyedarkan rakyat untuk kemerdekaan dan pembangunan ekonomi serta pengetahuan orang kampong, di Pasir Pekan khususnya ialah al-Fadhil Tuan Guru Haji Wan Adam bin Wan Abdullah. Beliau bukan sahaja mengorbankan tenaganya tetapi juga harta bendanya.


Kelahirannya

Haji Wan Adam bin Wan Abdullah dilahirkan pada tahun 1909M /1327H di Kampung Surau, Pasir Pekan, Kelantan oleh ibunya, Wan Setajar (Siti Hajar) binti Wan Abu Bakar (Imam Pasir Pekan yang pertama). Bapanya Wan Abdullah bin Wan Nuh pada mulanya adalah seorang peniaga kemudiannya menjadi pemilik kebun getah di Kuala Nal yang akhirnya menjadi estet (ladang).


Pendidikannya

Pengajian al-Quran merupakan asas pelajaran di zaman itu. Beliau sungguh beruntung kerana lahir dari kalangan keluarga yang sudah mempunyai asas-asas ugama – datuk dari sebelah ibunya ialah bekas Imam pertama di Pasir Pekan. Beliau telah khatam al-Quran dengan Haji Wan Ahmad b. Haji Wan Abdul Rahman – seorang guru al-Quran di Kampung Surau itu.

Setelah tamat al-Quran beliau belajar nahu dengan Tuan Guru Haji Abbas di Kota Kubang Labu, tetapi tidak lama di sini beliau bersama-sama Haji Wan Muhammad Saghir Wan Kono’ belajar pula di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Beliau terpaksa berulang-alik dengan perahu kecil, terkadang pernah terbalik sehingga basah seluruh pakaian dan kitab-kitab, namun mereka tetap juga berdayung sehingga beberapa tahun.


Di sini beliau pernah belajar dengan Haji Yaakub Haji Ahmad Lorong Gajah Mati, Haji Ismail Haji Sulong, Haji Ismail Palekbang dan Haji Ahmad Kedah. Sebelum belajar di Masjid Muhammadi beliau juga belajar kepada Tuan Guru Che Mat bin Haji Taib[2], Hujung Pasir, Pasir Pekan.


Setelah belajar di Masjid Muhammadi, beliau bersama-sama seorang kawannya bernama Haji Nik Muhammad bin Haji Wan Abdul Rahman telah pergi belajar di Kemuning, Machang – kepada Tok Kemuning (Tuan Guru Haji Ismail) selama hampir setahun. Di sanalah beliau mendapat tahu bahawa Haji Ahmad anak Tok Kemuning hendak ke Mesir. Sahabatnya, Nik Muhammad Wan Abdul Rahman telah mendorongnya supaya beliau melanjutkan pelajaran ke Mesir. Atas dorongan itu beliau bersetuju, kemudian memberitahu Tok Kemuning. Tok Kemuning yang telah bermukim lama di Makkah dan begitu terpengaruh dengan Makkah dan Mesir amat bersetuju atas cadangan Haji Wan Adam itu.


Pada 8 Oktober 1925 bersamaan 1344 Hijriah, beliau bersama tiga orang lagi dari Kemuning itu bertolak ke Mesir. Mereka itu ialah:

1. Haji Ahmad b. Haji Awang Kemuning ( Haji Ahmad Maher)

2. Haji Mustafa b, Haji Che Tengah, Limau Hantu (meninggal 1346H di Mesir )

3. Nik Jaafar b. Haji Nik Wan

Dari sudut tarikh lahirnya nampak jelas bahawa Haji Wan Adam lebih muda dari Haji Ahmad Maher 3 tahun sahaja.[3] Tetapi sejak di Kelantan mereka bersama-sama menghadapi guru-guru yang sama seperti Haji Yaakub Lorong Gajah Mati dan lain-lain di Masjid Muhammadi, sehingga beliau ke Mesir dan kembali ke Kelantan pun menjadi sahabat karib sehingga meninggal.


Haji Wan Adam belajar di Mesir, kemudian menyambung pelajarannya ke Makkah al-Mukarramah pula. Di sini beliau mendapat kawan-kawan baru yang juga datang dari Kelantan seperti Haji Nik Abdul Rahman Abdullah, Haji Nik Abdul Rahman Nik Kub dan sebagainya. Mereka dikatakan telah juga belajar dengan Haji Wan Adam di Makkah.


Di Makkah al-Mukarramah beliau telah berjaya mengarang sebuah buku bernama “Zaadul Haj” (foto kiri) bersama-sama Syaikh Hasan Nor Patani. Buku ini menjadi panduan kepada orang-orang mengerjakan haji dan dicetak kali pertama di Matba’ah Syarqiah, Jeddah, tahun 1357 H – 1938 M.


Selain dari panduan orang-orang haji, beliau juga telah memberi beberapa nasihat sewaktu berada di Makkah supaya orang-orang yang mengambil haji sentiasa dalam keadaan sihat dan baik. Di dalam buku yang setebal 106 muka itu juga dimuatkan sejarah pendek Masjid al-Haram, Perang Khandak, Badar, ‘Ain Zabidah, Masjid Nabawi dan sebagainya.


Beliau juga telah mengarang risalah-risalah khusus untuk mengajar dan khutbah-khutbah Jumaat. Di dalam risalah akhlaknya beliau menulis:

“Hidup sebagai kehidupan orang-orang alim yang mulia dan kamu meninggalkan kehidupan yang sebagaimana kehidupan orang-orang jahil yang hina itu”



Foto Kiri: Contoh tulisan tangan Tuan Guru Haji Wan Adam



Di Makkah al-Mukarramah beliau belajar di Madrasah al-Falahiah. Beliau telah mendapat Shahadah an-Najah al-‘Aliah li Talamizat al-Madaris al-Falahiah, di Makkah al-Mukarramah dalam pangkat pertama (Martabah al-Ula). Syahadah beliau adalah siri yang ke-92 dari siri ini di Madrasah itu.


Di dalam syahadah itu dapat dilihat kecenderungan beliau dalam biang ilmu tafsir, hadith, tauhid dan akhlak. Di dalam hidupnya, kesan daripada pelajaran itu, nampak jelas sekali beliau empunyai sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang tinggi mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Beliau tidak suka bercakap banyak. Kalau ketawa, tidak berdekah-dekah, biasanya setakat tersenyum sahaja. Tetapi apabila didengar perkataan yang menggelikan hatinya beliau menahan ketawa dengan menekan-nekan perutnya.



Berkahwin

Beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan Hajjah Nik Rogayah[4] bt. Haji Nik Mat yang ada hubungan darah dengan Tok Wan Ali Kutan dan keluarganya di Patani. Darah yang mengalir padanya diperolehi dari darah Kelantan, Pulau Pinang dan Patani. Perkahwinan ini berlangsung pada tahun 1938.


Membuka Sekolah

Setelah mendapat anaknya yang pertama, Wan Faridah (1939M). beliau turun ke Tanah Melayu, kembali ke kampung tempat tumpah darahnya - Kampung Surau Pasir Pekan. Tidak berapa bulan kemudian beliau mengajar di surau itu. Pengajaran tidaklah berbentuk pondok tetapi berbentuk sekolah.


Dalam masa yang singkat sahaja murid-murid bertambah ramai dan terpaksalah beliau meminta bantuan dari sahabat lamanya, Haji Wan Muhammad Saghir Wan Kono’. Mereka mengajar secara percuma sahaja, tanpa mengenakan sebarang bayaran.


Kira-kira pada tahun 1940 M, beliau berpindah dari Kampung Surau ke Padang Pasir dekat dengan Kota Kubang Labu. Di sinilah beliau mendirikan sekolah dengan bantuan saudara-saudaranya: Haji Wan Sulaiman, Haji Wan Taib dan bapa saudaranya , Haji Wan Abdul Samad. Madrasah ini diberi nama “al-Madrasah al-Falahiah” mengambil sempena sekolah tempat beliau belajar di Makkah al-Mukarramah. Sekolah ini dibuat dua tingkat – tingkat atas dijadikan balaisah tempat sembahyang dan di tingkat bawah tempat belajar.


(Foto: Tapak asal Madrasah Falahiah yang kini adalah Maahad Muhammadi (P) Pasir Pekan)



Tidak lama kemudian muridnya semakin meningkat. Jadi terpaksalah menambahkan seorang guru lagi. Sehingga saat itu guru-gurunya ialah:

1. Haji Wan Adam Wan Abdullah

2. Haji Wan Muhammad Saghir Wan Kono’ dan

3. Haji Nik Muhammad Wan Abdul Rahman

Dalam usahanya untuk mengembangkan sekolah ini para guru terpaksa bekerja kuat. Selain daripada mengajar, guru-guru terpaksa juga mencari bantuan dari orang ramai. Dengan usaha yang gigih sedemikian, bangunan sekolah dapat ditegakkan dengan baik dan pondok-pondok (asrama sendirian) didirikan oleh para pelajar yang datang dari negeri-negeri Pahang, Terengganu, Kedah, Perlis, Johor dan sebagainya.


Sebagai seorang yang pernah belajar di sekolah, maka sistem persekolahan dapat dijalankan dengan jayanya di sekolah ini. Beliau juga pernah berpandu kepada peraturan-peraturan Majlis Ugama Islam seperti Peraturan Bagi al-Madrasah al-Muhammadiah al-Arabiah (Minit Majlis 13/1937) yang dikeluarkan oleh Majlis Ugama Islam Kelantan pada 1 Rajab 1356 bersamaan 6 September 1937.


Sistem Sekolah Falahiah ini bermula dari Kelas 0 (kosong), dikenali dengan nama Kelas Not. Setelah setahun dan lulus peperiksaan, diangkat ke Darjah Satu, kemudian Darjah Dua dan seterusnya Darjah Tiga. Semua mata pelajaran adalah dalam bahasa Arab, termasuk geografi dan ilmu hisab.


Setelah sekolah ini berjalan baik, maka pada 1 Januari 1943 sekolah ini diterima sebagai sekolah Majlis Ugama Islam Kelantan.


Mengikut kenyataan Pegawai Pelajaran Majlis Ugama Islam Kelantan bahawa urutan sekola-sekolah Majlis ini dibuka (diterima) adalah sebagaimana berikut:

1. Maahad Muhammadi (Melayu) Laki-laki – 5.8.1917

2. Maahad Muhammadi (Perempuan) – 16.2.1932

3. Maahad Muhammadi (Arab) – 1.4.1937

4. Madrasah Falahiah, Pasir Pekan – 1.1.1943.

5. Sekolah Arab Pasir Mas – 1.4.1943

6. Madrasah Yaakubiah, Nipah, Bachok – 1.6.1943

7. Sekolah Arab Beris Kubor Besar, Bachok – 26.3.1944

8. Sekolah Arab Machang – 1.1.1949


Mengikut rekod, guru-guru yang mengajar di Sekolah Arab Falahiah Pasir Pekan pada bulan Mac 1946 ialah:

  1. Haji Wan Mahmud Daud (guru Arab II), gajinya $49.00
  2. Haji Wan Adam Wan Abdullah (pemangku Guru Besar), gajinya $36.00
  3. Wan Muhammad Saghir Wan Kono’ (gajinya $22.00)
  4. Nik Muhammad Haji Wan Abdul Rahman (gajinya $21.00).


Sekolah ini dilawati oleh Pemeriksa Sekolah-sekolah Majlis, Haji Nik Abdul Rahman.

Bilangan murid-muridnya ketika itu ialah: darjah ‘0’ seramai 17 orang, darjah satu 25 orang, darjah dua 20 orang dan darjah tiga seramai 13 orang.


Sekolah ini kemudiannya berkembang dari semasa ke semasa sehingga berubah wajah. Tanah tapak seluas dua ekar lebih, wakaf atas nama Haji Wan Adam itu, dapat digunakan sepenuhnya untuk bangunan sekolah, tambahan pula setelah Majlis Ugama Islam Kelantan membangunkan bangunannya yang baru.


Untuk perkembangan sekolah ini, Haji Nik Abdul Rahman Abdullah, Haji Ahmad Maher, Haji Nik Abdul Rahman Nik Kub, Haji Nik Muhammad Adeeb, Haji Fadhullah Suhaimi pernah memberi syarahan-syarahan ugama, terutama pada hari ulang tahun kelahiran Rasulullah (s.a.w).


Keitka berada di Pasir Pekan, Haji Wan Adam telah berusaha memaju kawasan itu, terutamanya dalam bidang ugama. Beliau selalu berpidato, mengajar malam dan siang, mengadakan beberapa balaisah dan menyelitkan semangat di dalam khutbahnya supaya anak-anak diberi latihan dan pelajaran ugama.


Sementara itu beliau sendiri telah membentuk anak-anaknya dengan ajaran ugama apabila beliau telah menghantar semua anak-anaknya dari isteri tua ke sekolah ugama. Manakala anak dari isteri mudanya tidak sempat beliau mendidik sendiri dengan sepenuhnya.


Di bidang politik, beliaulah orang pertama menubuhkan cawangan UMNO di pasir Pekan dan menjadi pengerusinya pada penghujung tahun empat puluhan. Beliau juga mengambil bahagian cergas untuk mengembangkan UMNO. Semangat inginkan kemerdekaan tidak kurang juga menekankan perasaannya sehingga beliau pernah berkempen dan memberi penerangan di masjid-masjid[5].

Di badang ekonomi, beliau telah berusaha menubuhkan syarikat kilang padi dan mengambil bahagian di dalamnya.


Ahli Dewan Ulama’

Haji Wan Adam pernah dilantik menjadi anggota Dewan Ulama’, Majlis Ugama Islam Kelantan. Mengikut Pengasuh bilangan 2 Kelauran 20 Jun 1946 – 21 Rajab 1365, nama-nama anggota pada masa itu ialah:

  1. Sahid al-Fadhilah Tuan Haji Ahmad Maher, Mufti Kerajaan – Yang Dipertua.
  2. Alfadhil Tuan Haji Nik Muhammad Adeeb – Naib Yang Dipertua.
  3. Haji Nik Abdul Rahman Nik Kub
  4. Haji Abdullah Tahir Haji Ahmad
  5. Haji Ismail Haji Abdul Majid
  6. Haji Nik Abdul Rahman Haji Wan Abdullah
  7. Haji Wan Hasan Haji Wan Muhammad
  8. Haji Yaakub Muhammad
  9. Haji Nik Hasan Haji Nik Mat
  10. Haji Wan Adam Haji Wan Abdullah
  11. Haji Ali bin Awang
  12. Haji Ishak Shamsudin
  13. Haji Muhammad Yusuf (Tok Kenali)
  14. Haji Muhammad Nor Haji Ibrahim
  15. Haji Muhammad Haji Idris
  16. Lebai Ni’mat Kedai Lalat


Meninggal Dunia






Pusara Haji Wan Adam di Tanah Perkuburan Kampung Surau, Pasir Pekan.


Setelah berjuang untuk menegakkan Islam dan memajukan masyarakat beliau telah

dipanggil pulang oleh Allah dalam usia yang belum begitu lanjut. Beliau meninggal dunia pada 12 April 1957, ketika sekolahnya sedang berkembang.


Anak-anaknya

Beliau telah meninggalkan sebelas orang anak dari dua orang isteri. Dari hajjah Nik Rogayah seramai tujuh orang (semuanya perempuan): Wan Faridah, Saadiah, Asiah, Fatimah, Hafsah, Mariam dan Zainab. Dan dari isterinya Hajjah Wan Zubaidah seramai empat orang: Koperal Muhammad Najib, Aminah (Siti Hajar), Muhammad Farid dan Rafeah.


Beliau juga telah meninggalkan beberapa pusaka kepada anak-anaknya. Yang paling banyak ialah buku-buku. Selain dari itu ada juga tanahnya di Makkah dan ada di antaranya yang diwakafkan di Makkah yang sampai kini masih wujud.


Murid-muridnya

Ramai murid-murid yang telah ditinggalkan dan masing-masing mengambil bahagian di dalam masyarakat – ada yang menjadi guru besar seperti Cikgu Wan Abdullah Wan Sulong, Cikgu Hasan Muhammad; ada yang menjadi Penghulu seperti Encik Hamzah; ada yang menjadi Penggawa, pegawai polis, guru-guru ugama, mubaligh dan sebagainya. Yang terkemuka di antara murid-muridnya ialah Ustaz (Dr.) Haji Hassan Haji Saleh (pengarang dan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia), Ustaz (Dr.) Abdul Fatah Ibrahim (juga pensyarah di Universiti), Haji Muhammad Abdul Rahman (Qadhi Tumpat), Ustaz Haji Wan Hasan Wan Daud (bekas Wakil Rakyat) dan sebagainya.

Nota:-

P1 pada nota kaki merujuk kepada penyelenggara Buku Tokoh-Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1), Ismail Che Daud. Manakala P2 ialah nota yang ditambah oleh Wan Mohd Nasruddin Wan Abdullah, wmnasruddin@gmail.com



[1] Rencana tulisan Ismail Awang ini dipetik dari buku ‘Tokoh-Tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1)’, terbitan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Edisi Ketiga, 2001. hal. 611 – 622. Rencana ini asalnya tersiar dalam majalah Pengasuh melalui siri tokoh ulama’ dengan foto potret Tuan Guru Haji Wan Adam (berserban) menghiasi kulit hadapan majalah tersebut. (P2)

[2] Tuan Guru Haji Che Mat (Ahmad) meninggal dunia pada tengah malam Rabu 10 Oktober 1973 dalam usia yang sangat lanjut. (P1)

[3] Perbezaan umur tiga tahun itu kurang tepat kerana Haji Ahmad Maher ladir pada tahun 1322 H, sedangkan Haji Wan Adam pada tahun 1327 H. (P1)

[4] Haji Wan Adam berkahwin dengan Nik Rogayah yang bermastautin di Makkah al-Mukarramah. Nik Rogayah juga mempunyai pertalian darah dengan keluarga Haji Ahmad Badawi, Pulau Pinang. Sekembalinya ke tanah air, Haji Wan Adam turut membawa pulang ibu mertuanya untuk tinggal bersama nya di Kelantan(P2)

[5] Kenyataan Abdul Rahman Che Leh (Pak Chik Man), Kampung Bharu, Pasir Pekan.

7 comments:

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
tajul said...

Alhamdulillah.. Ada jugak seorang hamba Allah yg upload dan cerita kan pasal haji Wan Adam ni.. Puas sya cari.. Terima Kasih tak terhingga buat tuan.. Semoga Allah limpahkan kurnianya dan rahmatNya ke atas tuan sekeluarga..
Beliau ialah Datuk Saya..

#savepalestine
#israelkoyak

wan said...

Boleh bantu kemaskini maklumat tambahan atau buat pembetulan sekiranya ada..terima kasih

Wan Salmah said...

Terima kasih atas info ini. Maklumat ini sangat berguna terutama kepada generasi baharu. Rumah saya dekat sekolah Falahiah dan seorang anak bersekolah di sini. Ustazah Wan Faridah ialah guru saya. Terima kasih.

Unknown said...

Alfatihah buat arwah,tak pernah jumpa tapi dapat kenal dgn artikel di atas, tq

Ahmad said...
This comment has been removed by the author.
Ahmad said...

Tapi ada kekeliruan sikit senarai ahli dewan ulamak AL marhum tok kenali meninggal pada tahun 1933...atau siapa ya?